Sunday, 29 January 2012

Aqal Waras….Kuat Jiwa….Tenaga Murni….

:: Ceritera Satu
Lady Boss ku seorang yang moody, suka marah sesuka hati, setiap kesalahan kecil pasti mengundang padah, sampai bila aku dan kami harus begini, makan jantung berulam hati, aku hanya orang kecil, kata-kata dan penjelasan kami tidak didengari…. 

:: Aqal Waras
……oohhh…rupa2nya Lady Boss ku sehingga kini masih bersendirian, sudah tentu emosinya tidak stabil, dia tiada kehidupan berkeluarga yang boleh melatih dirinya bersifat  sabar untuk berhadapan dengan karenah manusia, malah aku dan kamilah yang menjadi keluarga tidak rasminya walaupun sering dimarahi.


Sebab itu fikirannya hanya  tertumpu kepada kami di pejabat ini tanpa dia sedari untuk melepaskan emosi dan rasa terpendam di dalam dirinya sehinggakan Big Boss pun dah tak boleh nak buat apa-apa lagi, dek bahana emosi Lady Boss yang tidak  terkawal, ia memakan dirinya sendiri dan juga telah menghuru-harakan orang lain…huhu 

:: Kuat Jiwa
……bersyukurlah kerana aku dan kita ada keluarga yang sempurna, lengkap dengan ibu-ayah, suami-isteri, ipar-dua, anak-pinak, adik-beradik, saudara-mara, rakan-taulan – semuanya saling melengkapi membentuk jalinan kasih-sayang serta menstabilkan fikiran & emosi.


Namun, ramai lagi insan-insan di luar sana yang masih hidup bersendirian, diri umpama sebatang lidi, mudah patah dengan mainan fikiran dan emosi  yang bercelaru, tidak tahu hendak dibawa kemana segala resah dihati……jawatan tinggi menjadikan dirinya lebih ego lagi, tapi jauh disudut hatinya amat merasa rendah diri kerana dirinya tidak seperti orang lain.

:: Tenaga Murni
Ya Tuhan, tenangkanlah jiwa yang resah, datangkanlah jodoh yang baik kepada insan-insan yang masih mencari-cari kekasih hati walaupun di lewat usia, manusia itu saling berpasangan dan lengkap-melengkapi kerana itulah fitrah yang telah Engkau jadikan.



:: Ceritera Dua
Kawanku masih belum solat dengan sempurna, rakanku masih terjebak dengan kemungkaran walaupun dia tahu ia satu kesalahan, temanku masih belum mampu berpuasa dengan cukup di bulan ramadhan


..aahh senarainya amat panjang jika aku mahu tuliskan semuanya disini….sedangkan aku sendiri masih belum sempurna…tapi masih mahu mencari-cari kekurangan dan kesalahan orang lain.

 :: Aqal Waras
……mungkin kawanku masih jahil akan erti solat yang sebenarnya, dari kecil dia bersolat semata-mata kerana takut dimarahi ayahnya, maka bila berjauhan dari keluarga tiada siapa yang perlu dia takutkan lagi.


Mungkin rakanku masih dikelilingi persekitaran yang sentiasa mendorong dia melakukan kemungkaran yang berterusan, diri masih belum mampu melawan ajakan nafsu yang sudah membelengu diri.


Mungkin temanku tidak biasa berpuasa sedari kecil, atau mungkin terpengaruh dengan orang sekeliling yang juga tidak berpuasa di bulan ramadhan, atau mungkin dia mengalami masalah kesihatan atau mungkin dia terpaksa bekerja berat membanting tulang di bulan ramadhan yang tidak mengizikannya untuk menjalani ibadah puasa. Mungkin juga nantinya temanku itu akan mengqada semula puasa-puasanya yang telah tertinggal itu.


Aahh…semuanya adalah satu kemungkinan….

:: Kuat Jiwa
…..benarlah bahawa segala kekuatan itu datangnya dari Tuhan. Semua rezeki itu juga datangnya dari Tuhan. Boleh bersolat itu satu rezeki. Terhindar dari kemungkaran itu satu rezeki. Mampu berpuasa itu satu rezeki. 


Kekuatan dan rezeki itu pula adalah satu pinjaman. Tuhan boleh saja menarik balik segala kekuatan dan rezeki yang kita rasa lahir dari usaha kita sendiri. Walhal itu semua merupakan ujian untuk melihat sejauh mana kita insaf dan sedar bahawa Tuhanlah sebenarnya yang memberi keizinan untuk kita mampu/boleh melakukan semua itu.


Pada masa yang sama, terlalu banyak lagi suruhan Tuhan yang belum kita tunaikan dan banyak pula tegahan Tuhan yang belum kita tinggalkan.

:: Tenaga Murni
Tiada daya untuk melakukan taat dan tiada kekuatan untuk menjauhi maksiat, melainkan dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi, lagi Maha Agung.

There is no power and strength except through Allah SWT

No comments:

Post a Comment