Artikel dipetik dari buku Pancaran Minda oleh Abu Dzarin Taharem.
Roh – Jiwa – Hati - Rasa
Manusia mempunyai roh. Roh itu dinamakan jiwa atau hati. Hati ialah untuk merasa. Maka dengan hati, manusia mengalami berbagai-bagai rasa dan manusia merasakan berbagai-bagai perkara.
Rasa-rasa ketuanan
Di antara banyak rasa-rasa yang timbul di hati manusia termasuklah rasa sombong, angkuh, tinggi diri, rasa mulia, hebat, berkuasa, baik, pandai, rasa tidak bersalah, rasa kuat, rasa bangga dengan keturunan, kekayaan, pangkat dan nama, rasa tidak berdosa, rasa tidak apa-apa dengan Tuhan, rasa tidak apa–apa dengan mati, rasa tidak apa-apa dengan Neraka, rasa akan masuk syurga dan sebagainya. Semua ini dinamakan rasa-rasa ketuanan.
Rasa kehambaan (terhadap Tuhan)
Ada pula rasa rendah diri, rasa lemah, rasa hina, rasa berdosa, rasa bersalah, rasa cemas, rasa takut dan rasa bimbang dengan Tuhan dan sebagainya. Rasa-rasa ini dinamakan rasa kehambaan.
Rasa hati dan realiti lahiriah
Dalam pada itu, apa yang dapat kita lihat, orang yang merasakan dirinya mulia tidak semestinya mulia. Yang merasakan dirinya hebat, tidak semestinya hebat. Yang merasa dirinya baik, tidak semestinya baik, yang merasakan dirinya pandai, tidak semestinya pandai. Orang yang merasakan dirinya tidak berdosa pula, bergelumang dengan dosa, pagi, petang, siang dan malam. Sembahyang pun tidak.
Kita lihat pula orang yang merasakan dirinya hina, sangat dihormati dan disayangi oleh manusia. Akhlaknya mulia dan disenangi orang. Yang merasakan dirinya lemah, telah banyak mencetuskan berbagai pembangunan dan kejayaan. Yang merasakan dirinya berdosa, sangat taat dengan Allah dan patuh dengan kehendak agama. Yang merasakan tidak berilmu telah banyak mengajar dan mendidik orang. Banyak pula buku-buku yang ditulisnya.
Jelas pada kita bahawa rasa-rasa yang timbul di hati manusia hanyalah semata-mata rasa-rasa sahaja yang tidak semestinya ada kaitan dengan realiti sebenar orang yang berkenaan. Apa yang dirasakan tidak semestinya mencerminkan perbuatan, sifat, keadaan sebenar dan amalan lahir orang tersebut. Orang yang merasakan dirinya jahat mungkin baik. Orang yang merasakan dirinya pemurah mungkin bakhil dan merasakan dirinya bakhil mungkin pemurah. Orang yang merasakan dirinya ikhlas mungkin berkepentingan dan yang merasakan dirinya berkepentingan mungkin ikhlas.
Rasa ketuanan dan pencemaran tenaga murni
Sesiapa yang merasakan dirinya baik, hakikatnya jahat kerana menganggap dirinya mulia hakikatnya hina dan telah melakukan dosa kerana merasakan diri mulia itu ialah juga satu dosa. Siapa yang merasa dirinya ikhlas sebenarnya tidak ikhlas dan merasakan diri ikhlas itu sati sifat mazmumah.
Begitulah seterusnya. Segala rasa-rasa ketuanan yang bersarang di hati seperti rasa sombong, angkuh, tinggi diri, hebat, pandai, rasa tidak berdosa, tidak bersalah,tidak cemas, tidak takut atau tidak bimbang dengan Tuhan, dengan mati dan dengan Neraka, itu semua boleh mendatangkan dosa. Dosa batin atau dosa hati namanya. Rasa-rasa in menggelapkan hati, menyuburkan mazmumah dan menjauhkan kita dari Tuhan. Orang yang mengekalkan rasa-rasa ketuanan seperti ini sebenarnya telah melakukan syirik khafi (syirik kecil) kerana mahu berkongsi dengan sifat-sifat kemuliaan Tuhan.
Rasa kehambaan dan pemuliharaan tenaga murni
Apa yang sebenarnya dituntut dari kita ialah supaya membuat segala kebaikan dan mencapai segala kejayaan tetapi dalam pada itu kita diwajibkan mengekalkan rasa-rasa hamba di hati kita. Justeru itu, buatlah segala kebaikan tetapi rasakanlah yang kita ini jahat. Elakkan dari membuat dosa tetapi rasakanlah di hati yang kita ini terlalu banyak dosa. Jangan berbuat jahat dan kesalahan tetapi rasakanlah yang kita ini jahat dan bersalah. Rasakanlah diri kita ini hina walaupun kita dimuliakan manusia. Rasakanlah kita ini jahil walaupun kita ada ilmu.
Walaupun kita digalakkan mengikut sesetengah sifat Tuhan seperti pemurah, pemaaf, penyantun, pengasih, penyayang dan lain-lain lagi tetapi kita ditegah merasakan yang diri kita pemurah, pemaaf, pengasih dan sebagainya. Apa yang kita amalkan secara lahir itu lain tetapi apa yang kita rasakan di hati itu pula lain.
Tenaga murni penjana akhlak baik
Akhlak itu ada dua. Ada akhlak lahir dan ada akhlak batin atau hati. Pemurahlah dengan manusia tetapi disisi Allah rasakan yang kita ini bakhil. Berbuat baiklah kepada manusia tetapi rasakan yang kita ini jahat. Carilah ilmu hingga jadi alim tetapi rasakan yang kita ini jahil. Biarkanlah manusia memuliakan kita tapi rasakanlah dalam hati kita yang kita ini hina di sisi Tuhan. Kekalkan rasa takut, cemas dan bimbang dengan Tuhan, dengan mati dan dengan Neraka walaupun kita telah bertungkus-lumus melakukan taat kepada Tuhan.
Jongkang jongkit di antara amalan lahir (rasa positif sesama manusia) dan amalan hati (rasa negatif/kehambaan dengan Tuhan)
Siapa yang merasakan dirinya hina, adalah mulia di sisi Tuhan. Siapa yang merasakan diri bersalah, diampunkan dosanya oleh Tuhan. Siapa yang rasa bersalah, dimaafkan oleh Tuhan. Siapa yang rasa jahil sebenarnya berilmu kerana natijahnya orang yang alim itu, dia merasakan jahil di sisi Tuhan. Dan begitulah seterusnya jongkang jongkit di antara amalan lahir dan amalan hati. Perbuatan lahir mesti positif. Rasa di hati mesti negatif (merujuk kepada rasa-rasa kehambaan yang sepatutnya ada pada seorang manusia terhadap Tuhan, dan bukannya kepada sesama manusia). Dalam amalan hati, yang negatif itulah sebenarnya positif. Itulah akhlak namanya.
Assalamualaikum tuan, post yang sangat berguna dan menambah pemahaman saya tentang konsep kehambaan dan ketuanan di antara hubungan manusia dengan Allah...mohon share ye...terima kasih...
ReplyDelete