Saya begitu terkesan dengan bait-bait keramat nukilan sdr . ,
"berlian perlukan tekanan yang hebat untuk menzahirkan sifatnya yang tiada tolok cabarnya itu...."
Saya sering termenung memikirkan maksud tersurat & tersirat nukilan tersebut.
Saya tercari-cari apakah sesuatu yang boleh saya kaitkan kepada suatu kelompok kaum yang tinggal di kawasan menerima sinaran matahari disepanjang masa itu.
Sudah puas saya merantau melalui alam pembacaan serta pergaulan; saya lebih mengenali serta mengagumi bangsa & negara orang lain. Sesungguhnya saya pernah taksub kepada bangsa yang bemata sepet dek kerana sifat kerajinan mereka. Saya pernah terkagum-kagum dengan epik sejarah maharaja-maharaja mereka melalui drama-drama & filem mereka. Nampak begitu gah sekali mereka menggambarkan semula era kegemilangan masa lalu dalam bentuk layar perak. Namun rupa-rupanya mereka itu sudah lama kehilangan nikmat hidup bermaharaja akibat bahana idelogi sistem pemerintahan republik.
Saya juga pernah terkagum-kagum dengan idea-idea kehidupan sukses para penulis barat, namun semua itu semakin menjadikan saya jauh dari ketenangan yang diharapkan.
Saya juga pernah tercampak dalam suatu kehidupan yang dikelilingi oleh orang-orang yang bukan sebangsa dan bukan seagama dengan saya. Namun saya tidaklah pula telah bertukar menjadi seperti mereka. Masih tersisa sifat kedegilan, sifat ketuanan, sifat berdiri diatas kaki sendiri, sifat berani dan sifat-sifat yang tidaklah berapa sama dengan bangsa-bangsa yang saya temui itu.
Lalu siapakah saya sebenarnya? Kenapa saya menjadi begini? Mengapa saya tidak boleh bertukar menjadi bangsa lain yang saya rasakan mereka adalah lebih baik?
Pernah disuatu waktu saya tidak mahu bergaul dengan bangsa saya sendiri. Begitu ekstrim sekali perangai seorang anak bergenetik nusantara ini. Lalu saya mahu kemana? Ke negara Cina kah? Ke negara India kah? Ke London kah? Ke Amerika kah? Namun yang peliknya, sehingga kini saya masih berada di Tanah Melayu aka Semenanjung Emas.
Maka pencarian seorang warga bergenetik nusantara ini sinonim dengan lirik lagu Hati Emas nyanyian Sifu M Nasir;
....tiada lain tujuanku
HATI EMAS yang kucari
kisahnya dihujung dunia
mengapa tak kutemui
....oh! terdengar suara halus
bagai dengar dan menghilang
katanya pulanglah oh! anakku
ia tiada disini
Saya dan anda semua sebenarnya mencari serta tercari-cari orang-orang atau suatu kaum yang berhati emas.
Hati emas merujuk kepada berlian / permata seperti nukilan sdr . seperti di atas.
Manusia berhati emas:
~ manusia yang sanggup tunduk dan patuh kepada takdir dan rezeki yang telah ditetapkan oleh Tuhannya
~ manusia yang sangat sayangkan kebajikan, keselamatan serta keharmonian kehidupan orang lain~ manusia yang sanggup berkongsi apa yang dimilikinya bersama orang lain demi kepentingan dan kemakmuran masyarakatnya
~ manusia yang gigih berusaha siang dan malam dalam pelbagai bidang demi kelangsungan hidup untuk dirinya, keluarga, orang sekeliling serta negaranya
~ manusia yang sudi serta sentiasa mendoakan takdir-takdir terbaik dikurniakan Tuhan kepada diri dan masyarakatnya didunia serta diakhirat
Adakah suatu kaum yang tinggal dikawasan mendapat sinaran matahari disepanjang masa mempunyai hati -hati emas itu?
Ya, sesungguhnya mereka mempunyai hati emas. Mereka dijadikan Tuhan dengan penuh sifat yang fleksibel, boleh dilentur-lentur dengan begitu mudah sekali untuk menyesuaikan diri walau dimana saja mereka berada. Manusia berhati emas mudah berkawan dan cuba untuk tidak memulakan sebarang persengketaan. Sifatnya yang pelbagai itu menjadi bahan kajian sarjana barat sehingga mereka mewujudkan fakulti oriental (timur), khas untuk tujuan tersebut.
Emas sifatnya berkilat serta berkilau. Emas adalah sejenis konduktor. Emas boleh dilentur dan dibentuk menjadi pelbagai barang perhiasan. Namun emas yang terbiar dan tidak terjaga, lama-kelamaan menjadi kabur dan kusam. Bila dicampak kedalam air, ia akan tenggelam atau bila ditimbus kedalam tanah, maka ia akan hilang.
Apakah maksud semua ini?
Saya mahu memupuk semula sifat sangat sayangkan keluarga saya, bangsa saya, masyarakat saya serta negara saya secara keseluruhannya.
Ini kerana sifat kekitaan seperti sudah dan sedang terhakis sedikit demi sedikit, sebagaimana bertambah kusamnya kilauan emas akibat debu serta kotoran.
Warga bergenetik nusantara adalah manusia-manusia berhati emas yang saya cari selama ini. Isu fanatik , assobiyah mahupun taksub kepada bangsa sendiri tidak timbul di sini, kerana saya telah kehilangan bangsa saya disuatu waktu dahulu.
Saya tetap akan menghormati bangsa-bangsa lain yang pernah saya fanatik dengan sifat serta sejarah mereka sebelum ini. Namun saya sekali-kali tidak akan meninggalkan bangsa saya sendirian lagi. Bangsa saya adalah juga keluarga, saudara-mara, rakan-taulan dan kenalan bergenetik nusantara yang saya tidak berapa ketahuii dan fahami perangai, sifat serta sejarah mereka sebelum ini.
Hati-hati emas ini, perlu kita gilap setiap masa dengan kasih-sayang, perhatian, nasihat, contoh tauladan hatta doa serta rintihan kita di1/3 malam agar ianya akan terus berkilauan dengan akhlak yang cantik, pengorbanan, kesetiaan, kerja kuat serta seribu satu hikmah diri demi kebaikan masyarakat serta dunia.
Cabaran semakin hebat menanti di hadapan, warga bergenetik nusantara perlu digilap segera hati emas mereka kerana ada tugas besar yang perlu dilaksanakan.